Jangan Berhenti Berharap

Pada suatu hari, seorang lelaki telah membeli sebuah tembikai. Kemudian, dia membawa tembikai tersebut pulan dan memberikan kepada isterinya. Apabila isterinya membelah tembikai itu untuk dimakan, ternyata buah tembikai itu tidak elok. Maka, si isteri mula marah-marah melihatkan keadaan tersebut.
Maka bertanyalah si suami kepada isteri, “Kepada siapakah engkau tujukan marahmu itu, adakah kepada penjual, pembeli, penanam atau Pencipta buah tembikai itu?”
Terdiam si isteri menderngar pernyataan tersebut. Si suami meneruskan lagi kata-kata.
“Adapun si penjual, sudah tentu mahu jualannya terdiri daripada barangan yang terbaik. Adapun si pembeli juga sudah tentu mahu membeli barang yang terbaik juga. Bahkan si penanam juga sudah tentu mengharapkan tanaman yang terbaik. Adakah marahmu ditujukan kepada Pencipta buah tembikai ini? Bertakwalah kepada Allah dan redhalah dengan segala ketentuannya”.
Maka menangislah si isteri atas kesilapannya. Si isteri lalu bertaubat dan beristighfar.
Ibarat Buah Tembikai
Sesungguhnya, setiap daripada kita pasti menginginkan kehidupan yang indah, damai dan bahagia tanpa diganggu oleh mana-mana anasir yang mampu merobek kebahagiaan yang kita alami. Kita impikan seluruh kehidupan kita ini berjalan dengan sebaiknya, malahan kita selalu meminta kepada Yang Maha Kuasa supaya diberikan kebahagian hidup di dunia dan akhirat.
Namun, saat ujian datang menjengah dalam hidup kita, bagaimana penerimaan kita? Bagaiman reaksi kita dalam menghadapi segala dugaan yang kita rasakah tidak pernah putus?
Adakah kita redha menerima segala ujian yang diberikan?
Adakah kita terus-terusan menyalahkan Si Pemberi Ujian?
Atau adakah kita hanya bermuram durja lantas terus berhenti berharap kepadaNya?
Kita sentiasa mahukan buah tembikai yang manis, merah isinya dan mengandungi banyak jus. Namun kadang-kala, selepas tembikai dibelah, harapan kita seakan-akan hancur melihatkan buah yang disangka manis adalah tawar, isi yang disangka merah rupanya merah pucat, bahkan jus pula kurang. Lantas kita terus menyalahkan pembeli, penjual dan penanam tembikai itu; tanpa disedari kita seolah-olah menyalahkan Pencipta tembikai itu.
‘Urwah bin Al-Zubair Memuji Si Pemberi Ujian
Suatu hari, ‘Urwah diundang oleh Khalifah Walid bin Abdul Malik untuk datang ke istananya di Syam. Dalam perjalanan, kaki ‘Urwah merasakan kakinya terkena sesuatu. Tidak lama kemudian, timbul sebuah bisul di kakinya lalu pecah dan menjadi sebuah luka.
Tiba di Syam, tabib datang untuk memeriksa kaki ‘Urwah. Tabib kemudian menyimpulkan bahawa luka itu merupakan satu jangkitan yang mana jika tidak segera dihentikan boleh merebak ke seluruh badan. Dan satu-satunya cara untuk menghentikan penyebaran jangkitan itu adalah dengan memotong kaki tersebut.
‘Urwah setuju kakinya dipotong. Tabib menyarankan agar ‘Urwah meminum ubat bius terlebih dahulu sebelum operasi dilaksanakan agar dia tidak berasa sakit, tetapi ‘Urwah menolak. ‘Urwah ingin tetap berada dalam keadaaan sedar sehingga dapat mengingat Allah meskipun harus merasakan kepedihan yang sangat menyeksa. Akhirnya, tabib itu memotong kakinya dengan gergaji, sementara ‘Urwah dengan penuh kesabaran menyaksikan hal itu tanpa mengeluarkan suara kesakitan.
Pada waktu yang sama, seorang anak ‘Urwah yang ikut bersamanya dalam perjalanan tersebut mengalami kemalangan. Seekor keldai telah menendangnya sehingga mati. Apabila mendengar berita sedih itu, ‘Urwah tidak memberi komen apa-apa. Hanya ketika dalam perjalanan pulan ke Madinah, terdengar ‘Urwah berkata,
“Ya Allah, Engkau memberiku tujuh orang anak. Jika Engkau mengambil satu orang, Engkau masih meninggalkan enam lainnya. Dan Engkau memberiku empat anggota (dua tangan dan dua kaki). Jika Engkau mengambil salah satunya, Engkau masih meninggalkan tiga yang lain.”
Di saat itu, ‘Urwah bin al-Zubair masih lagi dapat menemui alasan untuk memuji Allah meskipun dalam musibah yang memilu hati. MashaAllah.
Tarbiyyah Daripada Illahi
Tanpa kita sedari, ujian yang menjenguk kita merupakan percikan tarbiyyah daripada Illahi. Mungkin pada awalnya kita mengalah, kita sendiri tercungap-cungap dalam lelah. Terkadang kita rebah, namun itu tanda bukan kita terus mengalah. Mencari-cari resolusi terhadap permasalahan yang dihadapi. Ujian didatangkan supaya kita dapat mempelajari sesuatu dan seterusnya dapat menguatkan diri kita , mencekalkan hati kita terhadap hamparan ujian yang menghadiri. Perlahan-lahan tanpa disedari, kita belajar erti menghargai dan bersabar dengan setiap ujian yang diberi.
Oleh itu, optimislah dengan segala ujian yang diperoleh. Kita tidak tahu apa yang Allah sembunyikan dari kita. Hanya yang pasti, semuanya terkandung 1001 hikmah yang tersembunyi yang sememangnya khas didatangkan daripada Illahi. Teringat akan kata-kata Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, “Jika kita mendapat apa yang kita tidak suka, sukalah dengan apa yang kita dapat. Jadikan buah limau yang masam itu sebagai minuman yang manis.”
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
(Al-Baqarah: 216)
Ujian yang menimpa itu menunjukkan kasih sayang yang dihamparkan kepada kita daripadaNya. Jarang kita tsedar bahawa sebelum ujian datang menjengah dalam kehidupan kita, kita begitu lalai dan leka dalam mengingatiNya. Kerana tidak mahu kita terus terbuai dengan keindahan dunia yang sementara, kita diuji supaya kita sedar bahawa segalanya tidak kekal abadi, melainkan di akhirat nanti.
Teruskan memanjat pengharapan dan pertolongan kepadaNya supaya kita sedar kita hanyalah sekadar hamba kerdil yang memang perlu diuji. Hanya Dia yang tahu apa yang terbaik buat diri. Teruskan pengharapan kepadaNya. Jangan sesekali kita berhenti berharap kepadaNya.
Sama-sama ambil ibrah daripada kisah ‘Urwah bin Zubair yang dihadiahkan musibah, namun tetap memanjatkan syukur tanpa sedikitpun kufur!
“Sekiranya ada masalah yang tidak selesai, beristighfar sebanyak-banyaknya. Nescaya Allah akan membuka jalan keluar. Apabila terasa sentuhan Allah, segala ujian, cubaan dan kesulitan yang datang akan menjadi seperti cucuran air hujan atau hembusan angin sahaja.”
~Sheikh Ibnu Taimiyah~
Penulis
Editor
Naquiah Noor

Share this:

CONVERSATION

0 comments: